top of page

Projek MyRaya: Kemeriahan Menyambut Ramadan dan Syawal

SMA Malaysia sekali lagi dijemput untuk berkolaborasi dengan Malaysia Heart Health Association (MyHeart) untuk menjalankan suatu program iaitu Projek MyRaya, pada 31 Mac 2022 bertempat di Pusat Membeli Belah Mydin USJ. Program ini turut melibatkan Nasional Cancer Society Malaysia dan Mydin sebagai rakan kolaborasi. Acara berlangsung pada jam 2.20 petang dengan acara pembukaan dan diikuti dengan ucapan daripada Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili selaku Presiden MyHeart. Kemudian berlangsung sesi penyerahan voucher oleh Encik Tuah Ahimat, salah seorang Lembaga Pengarah Mydin kepada penerima-penerima sumbangan. Puan Shakira Jamil Fisal, Presiden SMA Malaysia turut hadir dan mengetuai rombongan dari SMA Malaysia. Seramai 10 SMA Fighters dari Selangor dan Kuala Lumpur telah disantuni dan dipilih untuk menerima barangan dan wang saku untuk membeli kelengkapan berhari raya di mana setiap penerima mendapat sumbangan sebanyak RM360. Setelah sesi bergambar beramai-ramai, para peserta telah membeli belah di pasaraya Mydin dan suasana sangat meriah. Mereka berpeluang memilih baju raya kesukaan mereka bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Acara ini serba sedikit telah mengubat kesedihan dan kerinduan di hati SMA Fighters, dapat berjumpa semula rakan-rakan SMA Fighters yang lain setelah sekian lama mengasingkan diri dan menjalani tempoh PKP yang panjang akibat penularan Covid19. Kegembiraan turut terpancar di mata mereka apabila dapat memilih sendiri barangan yang mereka inginkan. SMA Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MyHeart yang merupakan penganjur utama dan pihak Mydin kerana menyediakan tempat membeli belah yang kondusif dan mesra OKU. Diharapkan aktiviti sebegini dapat diperluaskan kepada negeri-negeri lain di masa hadapan. InshaAllah. Terima kasih MyHeart dan Mydin!💐❤️👍🏼


















29 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page