top of page

Rumah Terbuka Raya SMA Malaysia 2022 Meriah 💕

Alhamdulillah Majlis Rumah Terbuka Raya SMA Malaysia 2022 telah berlangsung dengan jayanya di Melaka pada 21 Mei 2022 yang lalu. Program ini adalah program meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri kali yang ke-4 yang telah dianjurkan oleh SMA Malaysia di mana dua kali telah diadakan di Seremban, Negeri Sembilan dan sekali di Meru, Selangor. Kali ini Kediaman Raihanah yang terletak di Durian Tunggal, Melaka menjadi lokasi perjumpaan tahunan Hari Raya bagi semua SMA Fighters bersama ahli keluarga masing-masing. Pihak SMA Malaysia amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuan Azemi Ali sekeluarga, yang merupakan bapa kepada SMA Fighter Noor Raihanah yang sudi menjadi hos dan menyediakan tempat serta juadah pada majlis berkenaan. Ahli keluarga SMA Fighters yang lain juga tidak ketinggalan membawa juadah masing-masing untuk dikongsikan bersama-sama. Semua SMA Fighters sangat teruja dan tidak melepaskan peluang untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan setelah dua tahun tidak dapat bertemu secara bersemuka akibat covid 19.

Program kali ini telah menyaksikan kehadiran SMA Fighters dari hampir seluruh Malaysia iaitu dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka untuk sama-sama berkumpul dan mengeratkan lagi hubungan sebagai satu keluarga besar SMA Malaysia. Aktiviti berbalas pantun dan kuiz kanak-kanak turut dijalankan, telah mencuit hati dan menceriakan suasana. Malah program ini mendapat perhatian pihak media Melaka Kini dan wartawan mereka telah sempat menemurah Puan Arfah Jamian selaku Timbalan Presiden SMA Malaysia untuk mengetahui lebih banyak fungsi dan aktiviti yang telah dijalankan oleh SMA Malaysia. Boleh ikuti butiran temuramah di pautan ini: link

Selain itu, turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Yang Berbahagia Prof Dr Zabidi Hussin, Ketua Penasihat Perubatan SMA Malaysia, Yang Berbahagia Dato Hatijah Ayob, Pengerusi Yayasan Gabungan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (RDAFM) dan suami, serta En. Muha Aziz, Timbalan Presiden Malaysian Independence Living Association for Disabled (MILAD), juga Cik Nur Syafiqah Yahya, Presiden Independent Living Centre Melaka (ILC Melaka) yang juga seorang SMA Fighter. Majlis diteruskan dengan penyerahan hamper dan duit Raya sumbangan daripada En Muhd Affiq Azemi dan En Mohd Jamil Hashim kepada semua SMA Fighters. Pihak SMA Malaysia juga telah menyerahkan cenderahati kepada En Azemi dan isteri, tanda penghargaan dan terima kasih.

Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi karaoke, sambil SMA Fighters dan keluarga menjamu selera dan rancak bersembang. Majlis tamat kira-kira jam 6 petang. Sebahagian pulang semula ke tempat masing-masing, sebahagian lagi bermalam di Melaka. Program ini akan terus menjadi program tahunan SMA Malaysia dan tahun hadapan SMA Malaysia akan merancang untuk menganjurkannya lagi di negeri lain untuk memberi peluang SMA Fighters yang jauh bertemu rakan-rakan SMA Fighters yang lain. SMA Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja, ahli SMAM yang menguruskan perjalanan program dan semua yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.























146 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page