top of page

Sepuluh Kilauan Pingat SMA Fighters di Para Sukma KL 2022

Walaupun telah sebulan berlalu tetapi kenangan manis yang dicipta oleh SMA Fighters di Kejohanan Para Sukma Kuala Lumpur 2022 (30 Okt - 6 Nov. 2022) masih segar dalam ingatan, di mana sebanyak 3 pingat Emas, 6 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa yang membawa sepuluh pingat telah dimenangi oleh SMA Fighters untuk 2 jenis sukan iaitu Boccia dan Catur.


Pingat emas yang pertama dimenangi oleh SMA Fighter Nurul Azlipah Rahman yang mewakili Negeri Kelantan dalam acara Individu BC4 Wanita sukan boccia. Manakala pingat emas kedua dan ketiga dimenangi daripada sukan catur oleh SMA Fighter Ahmad Nazmi Md Nizam yang mewakili Negeri Perak, masing-masing dalam acara Individu Standard P1 Lelaki dan Individu Rapid P1 Lelaki. Ahmad Nazmi juga telah memenangi pingat perak acara Berpasukan Standard P1 Lelaki, dan pingat gangsa acara Berpasukan Rapid P1 Lelaki. Bagi SMA Fighter Amirul Iman yang mewakili Negeri Melaka pula, pingat perak telah dimenanginya dalam acara Berpasukan Rapid P1 Lelaki. Manakala SMA Fighter Siti Safura Jaapar yang mewakili Negeri Sembilan telah memenangi empat pingat perak, masing-masing dalam acara Individu dan Berpasukan Standard dan Rapid P1 Wanita.


Sepuluh pingat ini adalah pencapaian terbaik SMA Fighters di arena sukan Para Sukma setakat ini dan mereka berazam untuk memperbaiki pencapaian masing-masing, bukan sahaja bilangan pingat, malah ingin memberi inspirasi dan menggalakkan lagi penyertaan SMA Fighters yang masih remaja untuk bergiat aktif dalam arena sukan paralimpik. Walaupun SMA membataskan pergerakan fizikal mereka, tetapi mereka membuktikan bahawa keazaman dan kerja keras mereka mencapai impian mereka membuahkan hasil yang membanggakan. Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga dan kontigen pasukan masing-masing yang turut sama memberikan sokongan jitu sehingga menjadikan kejayaan ini suatu realiti. Syabas dan terima kasih. SMA Fighters Luar Biasa!



15 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page